Pendigitalan Sektor Keusahawanan Pemangkin Pembangunan Ekonomi Dan Industri
Pendigitalan Sektor Keusahawanan Pemangkin Pembangunan Ekonomi Dan Industri
Program Perintis Usahawan Digital Bakal Membentuk Para Usahawan Digital
JELI, 5 Mac 2022 – Pendigitalan sektor-sektor keusahawanan memainkan peranan
penting bagi membangunkan ekonomi dan industri di peringkat negeri dan
kebangsaan.
Program Sembang Digital Usahawan Jeli dan pelancaran Program Perintis
Pemerkasaan Usahawan Digital hari ini merupakan anjuran MyDIGITAL Corporation,
sebuah agensi Kerajaan yang bertanggungjawab untuk melaksanakan Rangka
Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM), dan Majlis Pembangunan Wilayah
Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), sebuah agensi yang bertanggungjawab dalam
pembangunan ekonomi dan industri di kawasan pantai timur.
Objektif utama Program Perintis Usahawan Digital adalah untuk memberi latihan,
bimbingan serta pementoran kepada usahawan-usahawan yang terpilih dalam
mendigitalkan operasi perniagaan masing-masing. Secara tidak langsung, inisiatif ini
dapat membantu mempertingkatkan produktiviti dan hasil serta margin keuntungan
yang lebih baik.
Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi),
dalam ucapannya semasa pelancaran program-program tersebut berkata, “Usaha-usaha untuk membangunkan ekonomi digital adalah selaras dengan aspirasi
Kerajaan untuk merealisasikan matlamat-matlamat dalam Rancangan Malaysia
Kedua Belas (RMKe-12). Saya berharap program ini dapat membentuk sejumlah
usahawan yang mengguna pakai teknologi digital dalam urusan perniagaan mereka.
Bermula di Jeli, program ini bakal dikembangkan ke daerah-daerah lain dan
seterusnya ke peringkat negeri serta kebangsaan.”
Program-program tersebut adalah kerjasama antara pihak awam dan swasta, dan
dijalankan sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah pimpinan
rakan-rakan penggiat industri sektor swasta.
Encik Fabian Bigar, Ketua Pegawai Eksekutif, MyDIGITAL Corporation berkata,
“Berteraskan mandat MyDIGITAL Corporation dalam melaksanakan Rangka
Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM), kami sentiasa mencari peluang
kerjasama awam-swasta dalam usaha memupuk pendigitalan, demi mencapai
matlamat negara untuk menjadi peneraju ekonomi digital serantau. Program Perintis
Pemerkasaan Usahawan Digital ini adalah langkah pertama ke arah memupuk
pendigitalan sektor keusahawanan yang meluas.”
Pelaksanaan program ini melibatkan sesi latihan pendigitalan perniagaan, tunjuk ajar
(mentoring) dan pemantauan selama satu tahun bermula 5 Mac 2022 kepada
perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Sesi bimbingan akan terus berjalan
dan dipantau oleh jurulatih sehingga program tamat, manakala pihak MyDIGITAL dan
ECERDC juga akan membuat pemantauan dan penilaian tahap keberkesanan
program ini.
Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC berkata, “ECERDC
menyambut baik kerjasama dengan MyDIGITAL kerana ia adalah kesinambungan
inisiatif kami semasa pandemik untuk membantu usahawan berhijrah ke platform edagang melalui penerapan pendigitalan dalam perniagaan menerusi program
pembangunan modal insan ECERDC iaitu empower ECER. Kerjasama ini akan
menyokong program empower ECER dan mempertingkatkan keupayaan digital
usahawan ECERDC”.
Sejak tahun 2011, di bawah Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan
empower ECER, ECERDC telah melatih 5,920 peserta di Kelantan dan daripada
jumlah ini 4,694 usahawan telah dilahirkan dan 814 peluang pekerjaan telah
diwujudkan. Di jajahan Jeli sahaja, ECERDC telah melahirkan lebih 500 usahawan
dan dalam aspek pendigitalan perniagaan 100% telah mengoptimumkan
penggunaan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp dan
kini mencatatkan peningkatan pendapatan secara purata antara RM1,800 hingga
RM18,000 sebulan. Pada tahun ini, ECERDC sedang melatih 150 peserta baharu di
Jeli dan mereka dijadualkan tamat mengikuti program pada bulan September 2022.”