Pendigitalan Sektor Keusahawanan Pemangkin Pembangunan Ekonomi Dan Industri - MyDIGITAL
Skip links

Pendigitalan Sektor Keusahawanan Pemangkin Pembangunan Ekonomi Dan Industri

Pendigitalan Sektor Keusahawanan Pemangkin Pembangunan Ekonomi Dan Industri

Pendigitalan Sektor Keusahawanan Pemangkin Pembangunan Ekonomi Dan Industri

Program Perintis Usahawan Digital Bakal Membentuk Para Usahawan Digital
JELI, 5 Mac 2022 – Pendigitalan sektor-sektor keusahawanan memainkan peranan penting bagi membangunkan ekonomi dan industri di peringkat negeri dan kebangsaan.
Program Sembang Digital Usahawan Jeli dan pelancaran Program Perintis Pemerkasaan Usahawan Digital hari ini merupakan anjuran MyDIGITAL Corporation, sebuah agensi Kerajaan yang bertanggungjawab untuk melaksanakan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM), dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), sebuah agensi yang bertanggungjawab dalam pembangunan ekonomi dan industri di kawasan pantai timur.
Objektif utama Program Perintis Usahawan Digital adalah untuk memberi latihan, bimbingan serta pementoran kepada usahawan-usahawan yang terpilih dalam mendigitalkan operasi perniagaan masing-masing. Secara tidak langsung, inisiatif ini dapat membantu mempertingkatkan produktiviti dan hasil serta margin keuntungan yang lebih baik.
Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), dalam ucapannya semasa pelancaran program-program tersebut berkata, “Usaha-usaha untuk membangunkan ekonomi digital adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk merealisasikan matlamat-matlamat dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Saya berharap program ini dapat membentuk sejumlah usahawan yang mengguna pakai teknologi digital dalam urusan perniagaan mereka. Bermula di Jeli, program ini bakal dikembangkan ke daerah-daerah lain dan seterusnya ke peringkat negeri serta kebangsaan.”
Program-program tersebut adalah kerjasama antara pihak awam dan swasta, dan dijalankan sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah pimpinan rakan-rakan penggiat industri sektor swasta.
Encik Fabian Bigar, Ketua Pegawai Eksekutif, MyDIGITAL Corporation berkata, “Berteraskan mandat MyDIGITAL Corporation dalam melaksanakan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM), kami sentiasa mencari peluang kerjasama awam-swasta dalam usaha memupuk pendigitalan, demi mencapai matlamat negara untuk menjadi peneraju ekonomi digital serantau. Program Perintis Pemerkasaan Usahawan Digital ini adalah langkah pertama ke arah memupuk pendigitalan sektor keusahawanan yang meluas.”
Pelaksanaan program ini melibatkan sesi latihan pendigitalan perniagaan, tunjuk ajar (mentoring) dan pemantauan selama satu tahun bermula 5 Mac 2022 kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Sesi bimbingan akan terus berjalan dan dipantau oleh jurulatih sehingga program tamat, manakala pihak MyDIGITAL dan ECERDC juga akan membuat pemantauan dan penilaian tahap keberkesanan program ini.
Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC berkata, “ECERDC menyambut baik kerjasama dengan MyDIGITAL kerana ia adalah kesinambungan inisiatif kami semasa pandemik untuk membantu usahawan berhijrah ke platform edagang melalui penerapan pendigitalan dalam perniagaan menerusi program pembangunan modal insan ECERDC iaitu empower ECER. Kerjasama ini akan menyokong program empower ECER dan mempertingkatkan keupayaan digital usahawan ECERDC”.
Sejak tahun 2011, di bawah Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER, ECERDC telah melatih 5,920 peserta di Kelantan dan daripada jumlah ini 4,694 usahawan telah dilahirkan dan 814 peluang pekerjaan telah diwujudkan. Di jajahan Jeli sahaja, ECERDC telah melahirkan lebih 500 usahawan dan dalam aspek pendigitalan perniagaan 100% telah mengoptimumkan penggunaan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp dan kini mencatatkan peningkatan pendapatan secara purata antara RM1,800 hingga RM18,000 sebulan. Pada tahun ini, ECERDC sedang melatih 150 peserta baharu di Jeli dan mereka dijadualkan tamat mengikuti program pada bulan September 2022.”