Pasar Besar Siti Khadijah Sasar Penerimagunaan Meluas E-Pembayaran
Pasar Besar Siti Khadijah Sasar Penerimagunaan Meluas E-Pembayaran
KOTA BHARU, 6 Mac 2022 – Pelancaran Program Transformasi Digital Pasar Besar
Siti Khadijah yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan pada hari ini merupakan hasil
usaha sama sektor Kerajaan dan swasta, antaranya MyDIGITAL Corporation
(MyDIGITAL), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB),
Bank Negara Malaysia (BNM), Kerajaan Negeri Kelantan, dan Persatuan PeniagaPeniaga Kecil Bumiputera Pasar Besar Siti Khadijah.
Program ini bertujuan untuk merealisasikan aspirasi Malaysia ke arah mewujudkan
masyarakat tanpa tunai menerusi penggunaan kaedah pembayaran elektronik atau
e-pembayaran bagi kemudahan peniaga dan pengunjung di pasar tersebut.
Majlis Pelancaran Program Transformasi Digital Pasar Besar Siti Khadijah ini telah
dirasmikan oleh Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Ekonomi) dan dihadiri oleh Dato’ Haji Hanifa Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa
Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Negeri
Kelantan dan Encik Mohd Muazzam Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan
BIMB.
Salah satu daripada inisiatif MyDIGITAL adalah untuk bekerjasama dengan pelbagai
agensi bagi mempromosikan program onboarding pembayaran elektronik bagi
peniaga dan pengguna untuk mengadakan masyarakat tanpa tunai (cashless
society). Persekitaran tanpa tunai dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat
kepada wang tunai, dan seterusnya memperluaskan penggunaan pembayaran
elektronik yang dilihat sebagai lebih efisien dan selamat. Ini adalah sejajar dengan
teras-teras utama Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia seperti meningkatkan
daya saing ekonomi melalui pendigitalan, mewujudkan masyarakat digital yang
inklusif dan membina persekitaran digital yang dipercayai, selamat dan beretika.
Negara-negara di rantau Asia Tenggara kini sedang berada pada puncak fasa
revolusi kewangan di mana kira-kira 49% daripada penduduk bandar telah pun
mengaplikasikan perkhidmatan e-dompet, dan jumlah ini diunjur akan mencecah 84%
menjelang 2025. Di Malaysia, penggunaan e-dompet telah meningkat sebanyak
131% kepada melebihi 600 juta transaksi pada tahun 2020, berbanding tahun
sebelumnya.
i
Penggunaan perkhidmatan e-pembayaran di Malaysia meningkat dengan ketara di
mana jumlah transaksi e-pembayaran mencatat pertumbuhan sebanyak 14% kepada
5.5 bilion transaksi pada 2020. Secara purata, setiap rakyat Malaysia melakukan 170
transaksi e-pembayaran pada 2020, meningkat daripada 150 transaksi pada tahun
2019ii
.
Dato’ Sri Mustapa Mohamed berkata, “Sebagai kayu pengukur, statistik Bank Islam
Malaysia Berhad menunjukkan penerimaan perniagaan di Kelantan terhadap kaedah
pembayaran tanpa tunai kini semakin baik. Jumlah perniagaan baru kaedah
pembayaran tanpa tunai telah meningkat sebanyak 7.7% pada tahun 2021 kepada
558, berbanding dengan tahun 2020, manakala transaksi perbankan Internet juga
telah meningkat sebanyak 7.2% kepada 550 bagi tempoh masa yang sama.”
“Program Transformasi Digital Pasar Besar Siti Khadijah telah berjaya mencapai 80%
(320) daripada sasaran matlamatnya iaitu menggalakkan peniaga untuk
menyediakan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai. Ini menggambarkan
pencapaian dan kemajuan usaha-usaha sektor awam dan swasta dalam
membangunkan budaya yang berfokus kepada transformasi digital.”
Program Transformasi Digital Pasar Besar Siti Khadijah ini menyaksikan kerjasama
strategik oleh Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Negara Malaysia Kuala
Terengganu, Kerajaan Negeri Kelantan, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar
Raya Islam, MyDIGITAL Corporation, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (MCMC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Payment Network
Malaysia (PayNet), RedONE, Telekom Malaysia Berhad (TM), Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Kelantan ICT Gateway serta Persatuan
Peniaga Pasar Siti Khadijah.
MyDIGITAL berharap usaha berterusan dapat terus dilaksanakan ke semua negeri
termasuklah di pasar-pasar komuniti agar pusat tumpuan pelancong sebegini akan
terus berdaya saing dan membudayakan kaedah pembayaran tanpa tunai dalam
perniagaan mereka.
i Sumber: https://www.bcg.com/publications/2020/southeast-asian-consumers-digital-payment-revolutions
ii Sumber: BNM Annual Report 2020
ii Sumber: BNM Annual Report 2020