MyDIGITAL Corporation dan UNDP Malaysia Jalin Kerjasama untuk Memacu Keterangkuman Digital melalui Inisiatif Indeks Keterangkuman Digital Malaysia (DIIM)
MyDIGITAL Corporation dan UNDP Malaysia Jalin Kerjasama untuk Memacu Keterangkuman Digital melalui Inisiatif Indeks Keterangkuman Digital Malaysia (DIIM)
PUTRAJAYA, 10 Oktober 2025 – Dalam sebuah usaha bermakna bagi memastikan semua rakyat Malaysia dapat terlibat sepenuhnya dalam transformasi digital negara, MyDIGITAL Corporation dan United Nations Development Programme (UNDP) telah menjalinkan kerjasama rasmi untuk memperkukuh agenda keterangkuman digital negara melalui pembangunan Inisiatif Indeks Keterangkuman Digital Malaysia (MyIKD) atau Digital Inclusivity Index Malaysia (DIIM).
Kerjasama ini telah dimeterai semalam dalam Majlis Kunjungan Hormat dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan di MyDIGITAL Corporation, Menara PjH, Putrajaya. Majlis tersebut telah dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation, Encik Adrian Marcellus, dan Wakil Residen UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Encik Edward Vrkić, Bersama wakil daripada kedua-dua organisasi.
Majlis ini menzahirkan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk merapatkan jurang digital serta menggalakkan akses saksama terhadap peluang digital di Malaysia. Dengan memanfaatkan pandangan berpaksikan data dan amalan terbaik antarabangsa, kerjasama ini bertujuan memastikan transformasi digital menjadi pemangkin kepada pembangunan yang inklusif, mampan dan berteraskan rakyat — selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara digital terkemuka menjelang tahun 2030.
Memacu Masyarakat Digital Inklusif Malaysia
MoU ini menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Malaysia ke arah ekonomi digital yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat. Melalui kerjasama ini, MyDIGITAL Corporation dan UNDP akan memperkukuh rangka kerja DIIM, memastikan ia berfungsi sebagai panduan dan kayu pengukur komprehensif dalam menangani jurang digital di negara ini.
Inisiatif DIIM merupakan salah satu usaha utama MyDIGITAL Corporation untuk memantau dan memupuk akses saksama terhadap peluang digital merentasi semua segmen masyarakat. Ia bukan sahaja menilai aspek hubungan dan capaian, tetapi turut merangkumi aspek mampu milik, kemahiran dan bakat digital, dasar-dasar berkaitan digital, serta tahap penerimagunaan digital dalam kalangan kerajaan, perniagaan dan rakyat — yang kesemuanya merupakan komponen penting bagi keterangkuman digital yang bermakna dan mampan.
“Teras kepada misi ini ialah keyakinan bahawa transformasi digital mesti bersifat inklusif. Kemajuan hanya bermakna apabila ia dinikmati oleh setiap rakyat Malaysia, dari bandar hingga ke luar bandar, daripada syarikat besar hingga ke usahawan kecil, daripada pelajar hingga warga emas. DIIM direka untuk mengukur tahap sebenar keterangkuman digital di negara ini,” kata Encik Adrian Marcellus.
“Melalui kerjasama dengan UNDP ini, kami berharap dapat memanfaatkan kepakaran antarabangsa dan amalan terbaik global bagi memperkukuh DIIM serta meneroka peluang kerjasama lain pada masa hadapan. Kerjasama ini mencerminkan keyakinan bersama bahawa transformasi digital yang inklusif adalah asas kepada Malaysia yang mampan dan bersedia untuk masa depan.”
“Majlis hari ini bukan sekadar sebuah upacara simbolik. Ia mencerminkan tekad bersama kita menjadikan transformasi digital yang inklusif sebagai asas pembangunan Malaysia yang lebih berdaya saing dan bersedia untuk masa hadapan. Menerusi pemeteraian MoU ini, diharapkan agar kepakaran dasar dan jalingan antarabangsa yang dimiliki UNDP dapat dimanfaatkan dalam membantu MyDIGITAL Corporation melaksanakan mandat dan agenda digital nasional,” jelasnya.
Wakil Residen UNDP bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Encik Edward Vrkić berkata: “Usaha ini bukan sahaja penting bagi keterangkuman digital, tetapi juga menjadi landasan kepada sesuatu yang lebih besar, iaitu peningkatan kualiti hidup semua rakyat Malaysia.”
“Dengan mengenal pasti jurang digital dan bekerjasama untuk merapatkan jurang tersebut, kita dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan lebih bermakna. Saya berani mengatakan bahawa jika kita melaksanakannya dengan betul — dan saya yakin kita akan berjaya — kerjasama ini akan menjadi contoh unggul bagi kolaborasi yang berkesan.”
“UNDP amat berbangga dapat bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia. Di UNDP, Malaysia sering dianggap sebagai ’a jewel in the crown’, mencerminkan hubungan kerjasama yang kukuh selama lebih 60 tahun. Malaysia secara konsisten berada di barisan hadapan dalam pembangunan komuniti, perindustrian, dasar sosial dan tindakan terhadap perubahan iklim,” katanya.
Meneguhkan Asas untuk Kerjasama Jangka Panjang
Seiring dengan majlis menandatangani MoU ini, kedua-dua organisasi turut membincangkan bidang kerjasama masa hadapan. Perbincangan tersebut merangkumi landskap kecerdasan buatan (AI) yang sedang berkembang, khususnya kepentingan pembangunan AI secara beretika dan bagaimana kesalinghubungan antara AI dan keterangkuman digital dapat memperkukuh agenda digital Malaysia sambil meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.
Kerjasama ini juga mengukuhkan peranan MyDIGITAL Corporation sebagai agensi peneraju dalam memacu dan memantau pelaksanaan inisiatif ekonomi digital negara di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) dan Dasar 4IR Negara (D4IRN), yang kedua- duanya menekankan pertumbuhan digital yang inklusif dan mampan.
Mengenai MyDIGITAL Corporation
MyDIGITAL Corporation adalah agensi pemantauan dan beroperasi sebagai Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik di bawah Kementerian Digital, yang mengawasi pelaksanaan Rancangan Ekonomi Digital Malaysia (MDEB) dan Dasar 4IR Kebangsaan. Ia berfungsi sebagai sekretariat kepada Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, serta menjadi tuan rumah kepada Pusat Revolusi Perindustrian Keempat Malaysia (MYCentre4IR) dengan kerjasama Forum Ekonomi Dunia. MyDIGITAL Corporation adalah platform dinamik yang bertujuan untuk mempercepatkan penerapan teknologi 4IR dan memupuk inovasi.
Website : MyDIGITAL Corporation | Ikuti kami di Facebook | Instagram | LinkedIn | X
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Komunikasi Strategik MyDIGITAL Corporation
Faizah Jaafar: +6019 399 7746 | faizah.jaafar@mydigital.gov.my
See Siok Gee: +6012 662 4336 | siokgee.see@mydigital.gov.my
Mengenai UNDP Malaysia, Singapura & Brunei Darussalam
Ditubuhkan pada tahun 1965, United Nations Development Programme (UNDP) bekerjasama dengan Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam untuk memajukan pembangunan yang mampan, inklusif dan berdaya tahan. Sebagai sebahagian daripada rangkaian global di 170 buah negara, UNDP bekerjasama dengan kerajaan, masyarakat sivil dan sektor swasta bagi memperkukuh pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), mempertingkat tadbir urus dan institusi, serta mempromosikan tindakan iklim, inovasi dan keterangkuman sosial.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Ketua Komunikasi UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam
Aiezat Fadzell: +6012 668 5747 | aiezat.fadzell@undp.org