MyDIGITAL Corporation Accelerates Malaysia’s AI Nation 2030 Journey as Rakyat Explore and Build at Smart Nation Expo 2026 - MyDIGITAL
Skip links

MyDIGITAL Corporation Mempercepat Usaha Malaysia ke Arah Negara AI 2030 Menerusi Penglibatan Rakyat dalam Meneroka dan Membina di Smart Nation Expo 2026

MyDIGITAL Corporation Mempercepat Usaha Malaysia ke Arah Negara AI 2030 Menerusi Penglibatan Rakyat dalam Meneroka dan Membina di Smart Nation Expo 2026

MyDIGITAL Corporation Mempercepat Usaha Malaysia ke Arah Negara AI 2030 Menerusi Penglibatan Rakyat dalam Meneroka dan Membina di Smart Nation Expo 2026

Hampir 4,000 pengunjung berpeluang menyaksikan sendiri perkembangan digital Malaysia di Taman Negara AI, sementara
Rakyat Digital Buildathon menarik lebih 280 pendaftaran.

PUTRAJAYA, 20 November 2026 – Rakyat Malaysia bukan sekadar didedahkan kepada aspirasi negara dalam bidang digital dan AI di Smart Nation Expo 2026; mereka juga berpeluang meneroka serta merasai sendiri kemajuan tersebut, malah yang lebih penting, mula membina sesuatu menggunakan AI.

Berlangsung dari 17 hingga 19 November 2026 di MITEC, Kuala Lumpur, acara ini menyaksikan hampir 4,000 pengunjung meneroka pameran interaktif Taman Negara AI, manakala Rakyat Digital Buildathon menarik lebih 280 pendaftaran dan menterjemahkan cabaran dunia sebenar kepada 194 alat AI.

Daripada meneroka perjalanan transformasi digital Malaysia hinggalah membangunkan penyelesaian praktikal berasaskan AI bagi menangani cabaran dunia sebenar, pengalaman ini membawa aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara AI menjelang 2030 lebih dekat dengan rakyat.

“Smart Nation Expo memberi gambaran bagaimana aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara AI diterjemahkan kepada tindakan. Rakyat Malaysia bukan sahaja menggunakan teknologi AI, malah turut bereksperimen dan membangunkan pelbagai penyelesaian menggunakan teknologi tersebut.

“Langkah seterusnya adalah untuk meneruskan momentum ini. Kita mahu lebih banyak idea rakyat Malaysia direalisasikan sebagai inovasi tempatan, seterusnya menghasilkan lebih banyak produk dan penyelesaian buatan Malaysia yang memenuhi keperluan sebenar, menjana nilai ekonomi dan menembusi pasaran yang lebih luas,” kata YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital.

Daripada Cabaran Dunia Sebenar kepada Penyelesaian Berasaskan AI

Dalam Rakyat Digital Buildathon, para peserta terlebih dahulu mengenal pasti masalah dan cabaran sebenar yang dihadapi di tempat kerja, dalam perniagaan, komuniti serta kehidupan seharian mereka. Seterusnya, mereka meneroka bagaimana alat berasaskan AI dapat membantu menghasilkan penyelesaian praktikal bagi menangani cabaran tersebut.

Dengan bimbingan mentor, para peserta melalui proses memahami cabaran, membangunkan idea, seterusnya membina, menguji dan memperhalusi prototaip berasaskan AI.

Pada akhir acara Buildathon, sebanyak 194 alatan AI berjaya dibina menerusi 6 buah sesi. Setiap peserta juga menerima akses percuma selama sebulan kepada ILMUCode, platform pengekodan AI buatan Malaysia, bagi membolehkan mereka terus membangunkan projek masing-masing selepas Smart Nation Expo 2026.

Perjalanan ini tidak berakhir dengan Buildathon. Menerusi Rakyat Builders, pencipta tempatan mempunyai platform untuk mengetengahkan projek mereka, menjalin hubungan dengan pembangun lain serta meneroka peluang untuk mengembangkan idea-idea yang berpotensi.

Inisiatif ini turut memperkukuh capaian Rakyat Digital, platform literasi digital kebangsaan Malaysia, yang setakat 19 November 2026 telah merekodkan seramai 1.69 juta jumlah pengguna. Pencapaian ini mencerminkan minat berterusan rakyat terhadap peluang pembelajaran digital dan AI yang mudah diakses.

Perjalanan Malaysia ke Arah Negara AI Menjadi Kenyataan

Ketika Buildathon memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menghasilkan sesuatu menggunakan AI, Taman Negara AI pula membolehkan pengunjung menghayati gambaran yang lebih menyeluruh tentang perjalanan Malaysia ke arah menjadi Negara AI.

Bertemakan Taman Negara AI, AI Nation Showcase membawa pengunjung menelusuri perjalanan transformasi digital Malaysia di bawah Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030: Ke Arah Negara AI (MD2030), bermula dengan usaha memperkukuh asas ekonomi digital hinggalah kepada usaha memanfaatkan data, teknologi baharu dan AI.

Pengunjung turut berpeluang meneroka perjalanan digital dan AI Malaysia melalui Park Quest, pengalaman interaktif di sekitar Taman Negara AI yang membolehkan mereka menyertai pelbagai permainan, menebus hadiah dan mengenali inisiatif digital utama negara.

Selaras dengan pengalaman Smart Nation yang lebih menyeluruh, Rakyat Digital Buildathon dan Taman Negara AI memperlihatkan perkembangan yang jelas, bermula dengan pembinaan asas digital yang kukuh, peluasan akses dan keupayaan, hinggalah kepada pewujudan peluang untuk lebih ramai rakyat Malaysia mengambil bahagian sebagai pengguna, pembangun dan pencipta teknologi.

MyDIGITAL Corporation akan terus bekerjasama dengan Kerajaan, industri, akademia, rakan teknologi dan komuniti bagi membantu lebih ramai rakyat Malaysia terus maju dalam perjalanan ini. Usaha ini membuka laluan yang lebih jelas untuk membawa idea daripada peringkat pembelajaran kepada pembangunan, daripada prototaip kepada pelaksanaan, serta daripada penyelesaian Malaysia ke pasaran yang lebih luas.

Untuk maklumat lanjut, lawati rakyatdigital.gov.my atau ikuti saluran media sosial rasmi MyDIGITAL Corporation. Sebarang pertanyaan mengenai Rakyat Digital dan program-programnya boleh dikemukakan melalui e-mel kepada support@rakyatdigital.gov.my.

– TAMAT –

Tentang MyDIGITAL Corporation

MyDIGITAL Corporation adalah agensi pemantauan dan beroperasi sebagai Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik di bawah Kementerian Digital, yang mengawasi pelaksanaan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030: Ke Arah Negara AI yang dibina berasaskan acuan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MDEB) dan 4IR Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, serta menjadi tuan rumah kepada Malaysia Centre for the Fourth Industrial Revolution (MYCentre4IR) dengan kerjasama Forum Ekonomi Dunia. MyDIGITAL Corporation adalah platform dinamik yang bertujuan untuk mempercepatkan penerapan teknologi 4IR dan memupuk inovasi.

Ikuti MyDIGITAL Corporation:
Laman web | Facebook | Instagram | LinkedIn | X

Tentang Rakyat Digital

Rakyat Digital ialah platform pembelajaran digital kebangsaan oleh MyDIGITAL Corporation yang menyediakan modul pembelajaran percuma kepada rakyat Malaysia dalam bidang literasi digital dan kesedaran AI. Direka untuk semua lapisan masyarakat, pada bila-bila masa dan di mana sahaja, platform ini menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara AI yang inklusif menjelang tahun 2030 dengan memperkasa rakyat untuk memahami, mengguna pakai dan memanfaatkan teknologi digital. Untuk maklumat lanjut, sila layari rakyatdigital.gov.my.

Ikuti Rakyat Digital:
Laman web | TikTok

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Komunikasi Strategik MyDIGITAL Corporation
Faizah Jaafar | +6019 399 7746 | faizah.jaafar@mydigital.gov.my
See Siok Gee | +6012 662 4336 | siokgee.see@mydigital.gov.my

Mengenai Petrosains

Petrosains, The Discovery Centre merupakan sebuah pusat penerokaan sains moden yang menawarkan pameran interaktif serta program STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) yang dinamik. Melaluinya, Petrosains merealisasikan komitmennya sebagai Learning Catalyst yang menyediakan pengalaman pembelajaran yang menarik dan memperkasa, sekali gus menyemarakkan sifat ingin tahu serta memupuk minat sepanjang hayat terhadap sains dan inovasi. Berpandukan prinsip kepelbagaian dan keterangkuman, Petrosains telah membangunkan pelbagai inisiatif, termasuk pusat sains mini di seluruh negara (Petrosains PlaySmarts), pameran bergerak, pertandingan di peringkat kebangsaan, program komuniti dan pelbagai lagi inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh Malaysia, termasuk komuniti yang kurang mendapat akses serta komuniti Orang Asli dan Peribumi. Petrosains turut berinteraksi dengan masyarakat melalui penawaran digital seperti laman web Petrosains, blog pembelajaran dan platform media sosial.

Selaras dengan aspirasi PETRONAS menerusi Pathway to Net Zero Carbon Emissions (NZCE) 2050, Petrosains turut memperkukuh kefahaman mengenai kelestarian melalui pameran interaktif seperti Sustainability Gallery, program bertemakan kelestarian, platform seperti Meet the Expert, serta pelbagai inisiatif lain yang menterjemahkan topik kelestarian yang kompleks kepada kandungan yang mudah difahami dan dapat diakses oleh semua.

Petrosains telah ditubuhkan oleh PETRONAS pada tahun 1999 sebagai sebahagian daripada inisiatif impak sosial syarikat dalam bidang pendidikan, dengan matlamat menyediakan persekitaran pembelajaran yang kaya dan merangsang bagi meningkatkan literasi rakyat serta menyemarakkan semangat pembelajaran sepanjang hayat. Petrosains terletak di Aras 4, Suria KLCC, Menara Berkembar PETRONAS.

Ikuti Petrosains Sdn Bhd:

Facebook: Petrosains – The Discovery Centre | Instagram: @instapetrosains
TikTok: @petrosains | Website: www.petrosains.com.my

EN
BM