MALAYSIA CHAMPIONS THE ASEAN AI SAFETY NETWORK TO ADVANCE AI SAFETY IN SOUTHEAST ASIA - MyDIGITAL
Skip links

MALAYSIA MENERAJUI RANGKAIAN KESELAMATAN AI ASEAN UNTUK MEMPERKASA KESELAMATAN AI DI ASIA TENGGARA

MALAYSIA MENERAJUI RANGKAIAN KESELAMATAN AI ASEAN UNTUK MEMPERKASA KESELAMATAN AI DI ASIA TENGGARA

MALAYSIA MENERAJUI RANGKAIAN KESELAMATAN AI ASEAN UNTUK MEMPERKASA KESELAMATAN AI DI ASIA TENGGARA

Sebagai salah satu pencapaian di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia 2025, Rangkaian Keselamatan AI ASEAN meletakkan asas bagi ekosistem AI yang lebih selamat dan dipercayai.

KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2025 – Kementerian Digital mengalu-alukan penerimaan Deklarasi Penubuhan Rangkaian mengenai Keselamatan Kecerdasan Buatan ASEAN atau lebih dikenali sebagai ASEAN AI Safety Network pada Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur. Sebagai salah satu daripada Keberhasilan Ekonomi Utama (Priority Economic Deliverables - PEDs) Malaysia, penerajuan Malaysia dalam inisiatif ASEAN AI Safety Network (ASEAN AI Safe) menonjolkan kepimpinan negara dalam menetapkan agenda serantau bagi kecerdasan buatan (AI) yang mengimbangi pemerkasaan inovasi AI dengan perlindungan terhadap risiko baharu yang bakal muncul.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang juga merupakan Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, menegaskan dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 tentang tanggungjawab bersama rantau ini untuk memastikan teknologi terus berperanan dalam memberi manfaat kepada kemanusiaan. Beliau turut menyatakan bahawa penubuhan ASEAN AI Safety Network (ASEAN AI Safe) mencerminkan tekad bersama ASEAN untuk mengintegrasikan etika, keselamatan dan tadbir urus yang baik dalam penggunaan kecerdasan buatan, sekali gus memastikan inovasi menjadi pemacu kepada keterangkuman, kepercayaan dan kemajuan di seluruh rantau ini.

Deklarasi ini dibuat selepas kajian kebolehlaksanaan yang menyeluruh dan proses rundingan bersama Negara-Negara Anggota ASEAN yang diterajui oleh Pusat Revolusi Perindustrian Keempat Malaysia (MYCentre4IR) yang dihoskan oleh MyDIGITAL Corporation susulan pengesahan projek ini pada Mesyuarat Menteri Digital ASEAN ke-5 (ADGMIN) yang telah berlangsung di Bangkok, Thailand pada Januari 2025. 

ASEAN AI Safety Network (ASEAN AI Safe) merupakan sebuah mekanisme serantau untuk menyokong Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Digital ASEAN (ADGSOM) dan Kumpulan Kerja Tadbir Urus Kecerdasan buatan (WG-AI), meningkatkan kapasiti serantau, memupuk kerjasama, mempromosikan penyelidikan dan usaha inovasi dalam keselamatan AI, serta mempertingkatkan penggunaan keselamatan AI. 

ASEAN AI Safe akan dipandu oleh rangka kerja serantau sedia ada seperti Pelan Induk Digital ASEAN (ASEAN Digital Masterplan) 2025, Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan (ASEAN Guide on AI Governance and Ethics), Garis Panduan Lengkap mengenai Tadbir Urus Dan Etika Generatif Kecerdasan Buatan (expanded guide AI governance and ethics for Generative AI), serta Peta Hala Tuju Kecerdasan Buatan Bertanggungjawab ASEAN (ASEAN Responsible AI Roadmap) (2025–2030). Ia juga sejajar dengan rangka kerja masa hadapan seperti Pelan Induk Digital ASEAN 2030 dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN, khususnya untuk memupuk kerjasama dalam membina sistem AI yang selamat dan terjamin di kalangan negara anggota ASEAN.

ASEAN AI Safe telah dirangka secara inklusif dan akan mengamalkan pendekatan kerjasama, dengan mengiktiraf tahap kematangan yang berbeza di kalangan negara anggota ASEAN bagi memastikan semua negara anggota dapat menyertai dan memperoleh manfaat daripada program serta aktiviti yang dilaksanakan. Kerjasama luaran juga merupakan elemen utama, dengan jangkaan terjalinnya perkongsian bersama rakan dialog ASEAN, organisasi antarabangsa, pemimpin industri dan institusi akademik bagi membina kapasiti, pertukaran ilmu serta kolaborasi penyelidikan dan pembangunan. 

Usaha-usaha ini untuk menyokong dan memperkukuh kesediaan institusi ASEAN dalam mengguna pakai AI secara selamat dijangka akan disokong oleh sebuah sekretariat kekal yang akan dihoskan oleh Malaysia. 

YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital berkata, “AI sedang membentuk semula ekonomi global, dan ASEAN harus menerajui usaha bagi memastikan kemajuan ini bukan sahaja dipacu oleh pencapaian ekonomi dan inovasi, tetapi juga dipandu oleh etika yang teguh dan keselamatan yang kukuh. ASEAN AI Safe menandakan langkah penting dalam mewujudkan platform untuk menterjemah prinsip bersama kepada pelan tindakan konkrit. Dengan menerajui inisiatif ini, Malaysia membantu rantau ini memperkukuh keupayaan kolektif, memajukan rangka kerja tadbir urus etika, serta memupuk budaya ketelusan dan akauntabiliti dalam penggunaan AI. Kerjasama ini memastikan apabila AI terus berkembang, ia dilakukan secara selamat, bertanggungjawab dan inklusif, bagi menghasilkan inovasi yang melindungi rakyat, memperkasa masyarakat dan membawa manfaat kepada semua negara serta rakyat di rantau ini.” 

ASEAN AI Safe turut diketengahkan dalam Sidang Kemuncak Powering the Intelligent Age: Driving Innovation with Southeast Asia and Beyond, yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Digital melalui MYCentre4IR dan Forum Ekonomi Dunia (WEF). Sidang Kemuncak yang berlangsung di Sasana Kijang ini menghimpunkan pembuat dasar kanan, pemimpin dan pakar industri bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama serantau mendukung transformasi digital dan peralihan tenaga.  

Penubuhan ASEAN AI Safe menandakan legasi utama di bawah Pengerusian ASEAN-Malaysia 2025, selaras dengan tema “Membina Masa Depan Lestari dan Inklusif untuk Semua.” Ia mengukuhkan komitmen Kementerian Digital dalam memupuk inovasi yang berteraskan kepercayaan, etika dan kemakmuran bersama, memastikan ASEAN kekal sebagai rantau di mana teknologi berkhidmat kepada kemanusiaan secara bertanggungjawab dan inklusif.

– TAMAT –

Mengenai MyDIGITAL Corporation

MyDIGITAL Corporation adalah agensi pemantauan dan beroperasi sebagai Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik di bawah Kementerian Digital, yang mengawasi pelaksanaan Rancangan Ekonomi Digital Malaysia (MDEB) dan Dasar 4IR Kebangsaan. Ia berfungsi sebagai sekretariat kepada Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, serta menjadi tuan rumah kepada Pusat Revolusi Perindustrian Keempat Malaysia (MYCentre4IR) dengan kerjasama Forum Ekonomi Dunia. MyDIGITAL Corporation adalah platform dinamik yang bertujuan untuk mempercepatkan penerapan teknologi 4IR dan memupuk inovasi.

Laman Sesawang: MyDIGITAL Corporation | Ikuti kami di Facebook | Instagram | LinkedIn | X

Mengenai Malaysia Centre for the Fourth Industrial Revolution (MYCentre4IR)

Dihoskan oleh MyDIGITAL Corporation, Pusat Revolusi Perindustrian Keempat Malaysia (MYCentre4IR) ialah sebahagian daripada rangkaian global Pusat Revolusi Industri Keempat (C4IR) di bawah Forum Ekonomi Dunia (WEF). Ia merupakan pusat pertama di Asia Tenggara dan yang ke-19 dalam rangkaian global WEF. MYCentre4IR berperanan sebagai platform dinamik dan berpandangan jauh yang memacu inovasi, merangka dasar serta memperkukuh kerjasama di peringkat global. Kerjasama strategik dengan Forum ini memberikan akses kepada sumber pengetahuan, amalan terbaik dan pandangan global daripada rangkaian organisasi dan negara sehaluan, sekali gus membolehkan perkongsian pembelajaran dan kolaborasi dalam pelbagai projek berimpak tinggi.

Laman Sesawang: MYCentre4IR | Ikuti kami di Facebook | Instagram | LinkedIn

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Komunikasi Strategik MyDIGITAL Corporation
Faizah Binti Jaafar: +6019 399 7746 | faizah.jaafar@mydigital.gov.my 
See Siok Gee: +6012 662 4336 | siokgee.see@mydigital.gov.my

Malaysia Centre for the Fourth Industrial Revolution (MYCentre4IR)
Calvin Woo : +60 17-640 4370 | calvin.woo@mydigital.gov.my 
Ameerul Ashraff: +017 358 5127 | ashraff.husni@mydigital.gov.my