Malaysia dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) Mendorong Transformasi Baharu ASEAN dalam Tadbir Urus AI dan Inovasi Industri
Malaysia dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) Mendorong Transformasi Baharu ASEAN dalam Tadbir Urus AI dan Inovasi Industri
Sidang Kemuncak Powering the Intelligent Age mengumumkan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN dan Kertas Putih Kelestarian AI, menyelaras kerjasama serantau berasaskan kelestarian dan kepercayaan
KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2025 – Kementerian Digital, melalui Pusat Revolusi Perindustrian Keempat Malaysia (MYCentre4IR), dengan kerjasama Forum Ekonomi Dunia (WEF), hari ini telah menganjurkan Sidang Kemuncak Powering the Intelligent Age: Driving Innovation with Southeast Asia and Beyond di Sasana Kijang. Acara ini bertujuan memperkukuh kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pendigitalan serta transformasi perindustrian hijau. Sidang tersebut juga menandakan satu pencapaian penting dalam Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, dengan menempatkan Malaysia sebagai pemacu dialog serantau dalam bidang tadbir urus teknologi dan inovasi, berteraskan transformasi digital serta agenda peralihan tenaga serantau.
Sidang kemuncak ini menghimpunkan lebih 400 delegasi daripada 14 negara, termasuk pembuat dasar kanan, wakil korporat, penyelidik dan pengasas syarikat pemula (startup companies). Penyertaan luas daripada sektor digital dan tenaga ASEAN, termasuk rakan pembangunan serta pakar industri, mencerminkan kerjasama erat antara sektor awam, swasta dan antarabangsa dalam memperkasa penerapan teknologi secara bertanggungjawab dan mampan di seluruh rantau ASEAN.
Antara tumpuan utama sidang kemuncak ini adalah pengumuman Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (ASEAN AI Safe), yang merupakan salah satu Sumbangan Keberhasilan Ekonomi Utama (Priority Economic Deliverable – PED) di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia. Berpusat di Kuala Lumpur, rangkaian ini akan menyatukan pembuat dasar, penyelidik dan pemain industri bagi memupuk penerapan AI yang selamat dan inklusif. Inisiatif ini juga sebahagian daripada usaha Malaysia untuk meletakkan ASEAN sebagai hab global terkemuka bagi inovasi bertanggungjawab serta transformasi digital.
YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital menyatakan, “Matlamat Malaysia adalah untuk menjadi Negara AI menjelang 2030, disokong oleh tadbir urus yang kukuh, pembangunan bakat yang inklusif dan pelaburan yang memberi impak signifikan kepada ekonomi. Sebagai Pengerusi ASEAN, kita memberi tumpuan kepada pembinaan kerangka kerjasama yang memastikan teknologi digunakan dengan selamat, telus dan memberi manfaat kepada semua lapisan komuniti. Penubuhan ASEAN AI Safe merupakan langkah penting dalam memastikan keselamatan AI, namun ia hanyalah sebahagian daripada usaha lebih besar iaitu membangunkan ekosistem di mana inovasi dan tanggungjawab bergerak secara seiring.”
Selaras dengan matlamat tersebut, agenda sidang kemuncak ini dirangka untuk menterjemahkan dasar kepada pelaksanaan, dengan memberi tumpuan kepada kerjasama yang praktikal dan berimpak tinggi. Perbincangan tertumpu kepada usaha mewujudkan asas bersama bagi tadbir urus kecerdasan buatan (AI) di seluruh ASEAN, menyelaraskan kelestarian dalam penerapan teknologi, serta memajukan transformasi industri melalui kerjasama dalam bidang inovasi. Antara pencapaian utama sidang kemuncak ini ialah pengumuman Kertas Putih Kelestarian AI (Sustainable AI White Paper), yang diibangunkan melalui kerjasama antara MYCentre4IR dan ERM, dengan rundingan bersama Microsoft, berfungsi sebagai panduan pelaksanaan AI yang bertanggungjawab dan cekap tenaga di rantau ini.
Dialog Kepimpinan yang berlangsung antara YB Gobind Singh Deo dan Cathy Li, Ketua Centre for AI Excellence serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif di Forum Ekonomi Dunia (WEF) telah meneliti rangka kerja ASEAN untuk pembangunan AI yang bertanggungjawab serta membincangkan strategi memperkukuh keupayaan rantau ini dalam memanfaatkan potensi AI bagi menyokong pertumbuhan ekonomi. Sesi tersebut menumpukan perbincangan tentang bagaimana kerjasama serantau dapat mempromosikan penggunaan AI yang bertanggungjawab serta membina kepercayaan awam terhadap teknologi.
“Potensi sebenar transformasi ekonomi Asia Tenggara melalui AI masih belum diterokai sepenuhnya, dan rantau ini mempunyai peluang unik untuk membentuk piawaian global AI pada masa hadapan,” menurut Cathy Li. “Namun, ini memerlukan penyelarasan menyeluruh bagi mewujudkan rangka tadbir urus bersama yang penuh nilai kepercayaan, ketelusan dan kelestarian dalam setiap lapisan inovasi, di samping membangunkan strategi bersama untuk membina ekosistem AI yang mampan, inklusif dan berdaya tahan.”
Sidang kemuncak ini turut menampilkan ucapan khas oleh Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Ekonomi ASEAN, Tuan Yang Terutama (TYT) Satvinder Singh, yang menegaskan bahawa kerjasama serantau amat penting bagi bagi memastikan teknologi berperanan sebagai pemangkin keterangkuman dan kemakmuran bersama. Beliau turut menekankan peranan ASEAN dalam membangunkan dasar yang memperkukuh kerjasama rentas sempadan, menyokong pertumbuhan ekonomi digital dan meningkatkan kesiapsiagaan institusi bagi menghadapi Era Pintar (Intelligent Age).
Forum Ekonomi Dunia komited menyokong usaha merealisasikan pembangunan AI yang berjaya, melalui kerjasama erat antara kerajaan dan semua pihak berkepentingan dalam rantaian nilai AI bagi memperkukuh kerjasama serantau.
Di peringkat industri, Dialog Kluster Perindustrian Peralihan (Transitioning Industrial Clusters, TIC) memaparkan bagaimana penggunaan platform data, automasi termaju dan integrasi tenaga bersih dapat membantu industri ASEAN meningkatkan daya saing, serta mengurangkan pelepasan karbon. Sesi lain yang memberi tumpuan kepada Keselamatan AI di ASEAN dan AI Lestari turut menghimpunkan pakar antarabangsa dan agensi serantau yang berkongsi pandangan tentang cara memastikan keselamatan, ketelusan dan kecekapan tenaga diterapkan dalam sistem AI. Perbincangan ini menegaskan kepentingan penyelarasan tadbir urus dengan impak hasil kelestarian yang boleh dinilai serta pembangunan kapasiti serantau yang berterusan.
Sidang kemuncak ini mengukuhkan komitmen Kementerian Digital untuk membentuk ekonomi berpacukan AI yang selamat, inklusif dan berdaya tahan untuk masa hadapan. Seiring dengan tema ASEAN yang menekankan kelestarian dan keterangkuman, Kementerian Digital turut bekerjasama dengan rakan industri termasuk Microsoft sebagai antara rakan strategik dalam usaha menjadikan Malaysia hab digital lestari dan lokasi dipercayai bagi aset digital serantau. Kerajaan akan terus bekerjasama dengan rakan serantau dan antarabangsa bagi memperkukuh pelaksanaan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (ASEAN AI Safe), memajukan amalan AI lestari seperti yang digariskan dalam Kertas Putih, serta memperkukuh ekosistem bakat, pelaburan dan tadbir urus untuk membina ekonomi digital ASEAN yang dipercayai dan berdaya saing.
– TAMAT –
Mengenai MyDIGITAL Corporation
MyDIGITAL Corporation adalah agensi pemantauan dan beroperasi sebagai Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik di bawah Kementerian Digital, yang mengawasi pelaksanaan Rancangan Ekonomi Digital Malaysia (MDEB) dan Dasar 4IR Kebangsaan. Ia berfungsi sebagai sekretariat kepada Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, serta menjadi tuan rumah kepada Pusat Revolusi Perindustrian Keempat Malaysia (MYCentre4IR) dengan kerjasama Forum Ekonomi Dunia. MyDIGITAL Corporation adalah platform dinamik yang bertujuan untuk mempercepatkan penerapan teknologi 4IR dan memupuk inovasi.
Laman Sesawang: MyDIGITAL Corporation | Ikuti kami di Facebook | Instagram | LinkedIn | X
Mengenai Forum Ekonomi Dunia
Forum Ekonomi Dunia (WEF) adalah sebuah organisasi antarabangsa untuk kerjasama awam-swasta. Ia menghimpunkan pemimpin daripada kerajaan, industri perniagaan, akademia dan masyarakat sivil bagi membentuk agenda global, serantau dan industri. Berpusat di Geneva, Switzerland, Forum ini komited untuk memperkukuh kesejahteraan dunia melalui dialog, perubahan sistem dan pelaksanaan penyelesaian terhadap isu global kritikal seperti peralihan tenaga, tindakan terhadap perubahan iklim, tadbir urus teknologi dan pembangunan ekonomi inklusif.
Mengenai Malaysia Centre for the Fourth Industrial Revolution (MYCentre4IR)
Dihoskan oleh MyDIGITAL Corporation, Pusat Revolusi Perindustrian Keempat Malaysia (MYCentre4IR) ialah sebahagian daripada rangkaian global Pusat Revolusi Industri Keempat (C4IR) di bawah Forum Ekonomi Dunia (WEF). Ia merupakan pusat pertama di Asia Tenggara dan yang ke-19 dalam rangkaian global WEF. MYCentre4IR berperanan sebagai platform dinamik dan berpandangan jauh yang memacu inovasi, merangka dasar serta memperkukuh kerjasama di peringkat global. Kerjasama strategik dengan Forum ini memberikan akses kepada sumber pengetahuan, amalan terbaik dan pandangan global daripada rangkaian organisasi dan negara sehaluan, sekali gus membolehkan perkongsian pembelajaran dan kolaborasi dalam pelbagai projek berimpak tinggi.
Laman Sesawang: MYCentre4IR | Ikuti kami di Facebook | Instagram | LinkedIn
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Komunikasi Strategik MyDIGITAL Corporation
Faizah Binti Jaafar: +6019 399 7746 | faizah.jaafar@mydigital.gov.my
See Siok Gee: +6012 662 4336 | siokgee.see@mydigital.gov.my
Malaysia Centre for the Fourth Industrial Revolution (MYCentre4IR)
Calvin Woo : +60 17-640 4370 | calvin.woo@mydigital.gov.my
Ameerul Ashraff: +017 358 5127 | ashraff.husni@mydigital.gov.my
