Daripada Pengguna AI kepada Pembina AI, Rakyat Digital Buildathon Menjadi Tumpuan Utama di Smart Nation Expo 2026
Daripada Pengguna AI kepada Pembina AI, Rakyat Digital Buildathon Menjadi Tumpuan Utama di Smart Nation Expo 2026
Rakyat Digital Buildathon’ menawarkan pengalaman praktikal yang memperkasa rakyat Malaysia untuk membangunkan aplikasi berasaskan AI, manakala
‘AI Nation Showcase’ pula membawa pengunjung meneroka perjalanan Malaysia ke arah menjadi Negara AI menjelang 2030
PUTRAJAYA, 18 November 2026 – MyDIGITAL Corporation memberi tumpuan kepada generasi baharu pembina AI Malaysia di Smart Nation Expo 2026, sekali gus memperlihatkan bagaimana Rakyat Digital memperkasa rakyat Malaysia untuk melangkaui pembelajaran mengenai kecerdasan buatan (AI) kepada penciptaan penyelesaian berasaskan AI.
Selaku rakan strategik Smart Nation Expo 2026 yang berlangsung dari 17 hingga 19 November di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), MyDIGITAL Corporation membawakan dua tarikan utama: Rakyat Digital Buildathon, yang memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mempraktikkan AI, dan AI Nation Showcase, sebuah pameran interaktif yang membawa pengunjung meneroka perjalanan transformasi digital dan aspirasi Malaysia ke arah menjadi Negara AI menjelang 2030.
Rakyat Digital Buildathon memberi peluang kepada peserta untuk menterjemahkan idea mereka kepada aplikasi yang berfungsi dengan sokongan teknologi AI. Daripada pembina kali pertama hingga pembangun berpengalaman, peserta akan menerima bimbingan secara praktikal untuk meneroka bagaimana AI boleh membantu mereka membangunkan penyelesaian bagi keperluan harian, komuniti, perniagaan dan organisasi. Setiap peserta juga akan menerima akses percuma selama sebulan kepada ILMUCode, platform pengekodan AI tempatan Malaysia.
“Hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah Negara AI menjelang 2030 tidak boleh direalisasikan melalui teknologi semata-mata. Ia perlu dipacu oleh rakyat Malaysia yang mempunyai pengetahuan, keyakinan dan peluang untuk memanfaatkan AI dengan bermakna.
“Melalui inisiatif seperti Rakyat Digital, kami mahu memperkasa lebih ramai rakyat Malaysia untuk bukan sekadar menggunakan teknologi, malah juga mencipta penyelesaian, membangunkan produk dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital negara. Inilah cara kita memupuk generasi baharu inovator Malaysia dan memperkukuh aspirasi untuk menghasilkan penyelesaian Made by Malaysia,” kata Gobind Singh Deo, Menteri Digital.
Daripada Mempelajari AI kepada Membina dengan AI
Rakyat Digital ialah platform pembelajaran digital nasional di bawah Kementerian Digital yang dijayakan oleh MyDIGITAL Corporation. Ia direka untuk menjadikan pembelajaran digital dan AI lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia serta menyediakan laluan daripada pemahaman asas kepada penciptaan dan aplikasi praktikal.
Perjalanan ini dipandu oleh pendekatan 3A: Awareness (Kesedaran), Access (Akses) dan Adoption (Penerimagunaan).
Melalui Hab Literasi Digital, rakyat Malaysia boleh membina kesedaran serta pemahaman mengenai teknologi digital dan AI melalui pelbagai pilihan kursus dan inisiatif, termasuk AI untuk Rakyat. Hab Kemahiran Digital pula memperluas akses kepada peluang pembelajaran dan pembangunan profesional, termasuk akses kepada platform pembelajaran terkemuka menerusi inisiatif seperti Pas Pembelajaran Global Rakyat Digital.
Hab Rakyat Builders membawa perjalanan ini ke tahap seterusnya dengan menggalakkan rakyat Malaysia mengaplikasikan pengetahuan mereka, bereksperimen dengan AI serta membangunkan dan berkongsi penyelesaian mereka sendiri.
Rakyat Digital Buildathon merealisasikan pendekatan ini dengan memperlihatkan bagaimana AI dapat memudahkan proses penciptaan, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk menjadi pembina dan menghasilkan idea mereka sendiri, tanpa mengira pengalaman atau kemahiran sedia ada.
“Rakyat Digital bertujuan membina keupayaan dan mewujudkan peluang untuk rakyat Malaysia berkembang daripada kesedaran kepada akses dan seterusnya penerimagunaan.
Buildathon tersebut menunjukkan bagaimana perjalanan ini diterjemahkan kepada amalan. Kami mahu rakyat Malaysia beralih daripada sekadar bertanya apa yang AI boleh lakukan untuk mereka kepada meneroka apa yang boleh mereka bina dengan AI. Ini merupakan langkah penting ke arah mewujudkan sebuah negara yang terdiri daripada golongan pembina yang mampu membangunkan penyelesaian untuk Malaysia dan seterusnya,” kata Adrian Marcellus, Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation.
Peningkatan penyertaan dalam inisiatif-inisiatif Rakyat Digital mencerminkan permintaan yang semakin meninggi terhadap peluang pembelajaran AI dan digital yang lebih mudah diakses. Portal tersebut kini mempunyai 1.6 juta pengguna, manakala lebih 17,000 pelajar telah menebus akses percuma kepada peralatan AI melalui AI untuk Rakyat.
Bagi menyegerakan aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah Negara AI menjelang 2030, Kementerian Digital telah memperluas akses dengan menambah 25,000 lesen Pas Pembelajaran Global, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 50,000 lesen susulan permintaan yang menggalakkan. Pas tambahan tersebut ditawarkan pada pertengahan November 2026 kepada 25,000 pemohon terawal dalam senarai menunggu, dengan lebih 46,900 penyelesaian kursus telah direkodkan setakat ini.
Peningkatan penyertaan dalam inisiatif Rakyat Digital mencerminkan minat yang semakin tinggi terhadap peluang pembelajaran AI dan kemahiran digital yang mudah diakses oleh rakyat Malaysia. Portal tersebut kini mempunyai 1.6 juta pengguna. Lebih 17,000 individu telah menebus akses percuma kepada peralatan AI melalui AI untuk Rakyat, manakala 25,000 lesen telah dikeluarkan di bawah Pas Pembelajaran Global Rakyat Digital, dengan lebih 46,900 penyelesaian kursus telah direkodkan. Buildathon tersebut juga merupakan langkah seterusnya dalam perjalanan ini dengan menterjemahkan akses kepada ilmu dan teknologi kepada keupayaan praktikal serta penyelesaian yang dibangunkan secara tempatan.
Pameran Wajib Dikunjungi: Terokai Perjalanan Malaysia Menuju Negara AI
Selain Buildathon, pengunjung ke Smart Nation Expo 2026 berpeluang menerokai pameran AI Nation Showcase, salah satu tarikan utama oleh MyDIGITAL Corporation pada acara tersebut.
Pameran ini membawa pengunjung menelusuri perjalanan transformasi digital Malaysia, bermula daripada pembinaan asas ekonomi digital kepada pemanfaatan data, teknologi baharu dan AI di bawah Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030: Ke Arah Negara AI (MD2030).
Pameran ini bukan sekadar mengetengahkan aspirasi negara, malah turut memaparkan contoh praktikal tentang bagaimana teknologi digital dan AI sedang mentransformasikan perkhidmatan Kerajaan, sektor perniagaan, pembangunan bakat dan kehidupan seharian.
Pameran ini memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri bagaimana transformasi digital Malaysia sedang dilaksanakan melalui penampilan organisasi-organisasi utama termasuk AI Malaysia Berhad, JDN, GIACC, MyDigital ID, FUTURISE dan Petrosains, serta demonstrasi inisiatif seperti Hansard Parlimen, MyGovApp dan Rakyat Digital.
Secara keseluruhan, Rakyat Digital Buildathon serta pameran AI Nation Showcase menitikberatkan satu aspirasi utama MD2030: membina sebuah Negara AI yang inklusif di mana rakyat Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi, malah menjadi peserta aktif, inovator dan pencipta penyelesaian Made by Malaysia .
Para pengunjung digalakkan untuk menjadikan pameran AI Nation Showcase sebagai salah satu tarikan yang wajib dikunjungi di Smart Nation Expo 2026.
Mereka yang berminat untuk menyertai Rakyat Digital Buildathon boleh mendaftar melalui Hab Rakyat Builders di rakyatdigital.gov.my, tertakluk kepada ketersediaan sesi.
Untuk maklumat lanjut, lawati rakyatdigital.gov.my atau ikuti saluran media sosial rasmi MyDIGITAL Corporation. Sebarang pertanyaan mengenai Rakyat Digital dan program-programnya boleh dikemukakan melalui e-mel kepada support@rakyatdigital.gov.my.
– TAMAT –
Tentang MyDIGITAL Corporation
MyDIGITAL Corporation adalah agensi pemantauan dan beroperasi sebagai Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik di bawah Kementerian Digital, yang mengawasi pelaksanaan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030: Ke Arah Negara AI yang dibina berasaskan acuan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MDEB) dan 4IR Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, serta menjadi tuan rumah kepada Malaysia Centre for the Fourth Industrial Revolution (MYCentre4IR) dengan kerjasama Forum Ekonomi Dunia. MyDIGITAL Corporation adalah platform dinamik yang bertujuan untuk mempercepatkan penerapan teknologi 4IR dan memupuk inovasi.
Ikuti MyDIGITAL Corporation:
Laman web | Facebook | Instagram | LinkedIn | X
Tentang Rakyat Digital
Rakyat Digital ialah platform pembelajaran digital kebangsaan oleh MyDIGITAL Corporation yang menyediakan modul pembelajaran percuma kepada rakyat Malaysia dalam bidang literasi digital dan kesedaran AI. Direka untuk semua lapisan masyarakat, pada bila-bila masa dan di mana sahaja, platform ini menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara AI yang inklusif menjelang tahun 2030 dengan memperkasa rakyat untuk memahami, mengguna pakai dan memanfaatkan teknologi digital. Untuk maklumat lanjut, sila layari rakyatdigital.gov.my.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Komunikasi Strategik MyDIGITAL Corporation
Faizah Jaafar | +6019 399 7746 | faizah.jaafar@mydigital.gov.my
See Siok Gee | +6012 662 4336 | siokgee.see@mydigital.gov.my
Mengenai Petrosains
Petrosains, The Discovery Centre merupakan sebuah pusat penerokaan sains moden yang menawarkan pameran interaktif serta program STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) yang dinamik. Melaluinya, Petrosains merealisasikan komitmennya sebagai Learning Catalyst yang menyediakan pengalaman pembelajaran yang menarik dan memperkasa, sekali gus menyemarakkan sifat ingin tahu serta memupuk minat sepanjang hayat terhadap sains dan inovasi. Berpandukan prinsip kepelbagaian dan keterangkuman, Petrosains telah membangunkan pelbagai inisiatif, termasuk pusat sains mini di seluruh negara (Petrosains PlaySmarts), pameran bergerak, pertandingan di peringkat kebangsaan, program komuniti dan pelbagai lagi inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh Malaysia, termasuk komuniti yang kurang mendapat akses serta komuniti Orang Asli dan Peribumi. Petrosains turut berinteraksi dengan masyarakat melalui penawaran digital seperti laman web Petrosains, blog pembelajaran dan platform media sosial.
Selaras dengan aspirasi PETRONAS menerusi Pathway to Net Zero Carbon Emissions (NZCE) 2050, Petrosains turut memperkukuh kefahaman mengenai kelestarian melalui pameran interaktif seperti Sustainability Gallery, program bertemakan kelestarian, platform seperti Meet the Expert, serta pelbagai inisiatif lain yang menterjemahkan topik kelestarian yang kompleks kepada kandungan yang mudah difahami dan dapat diakses oleh semua.
Petrosains telah ditubuhkan oleh PETRONAS pada tahun 1999 sebagai sebahagian daripada inisiatif impak sosial syarikat dalam bidang pendidikan, dengan matlamat menyediakan persekitaran pembelajaran yang kaya dan merangsang bagi meningkatkan literasi rakyat serta menyemarakkan semangat pembelajaran sepanjang hayat. Petrosains terletak di Aras 4, Suria KLCC, Menara Berkembar PETRONAS.
Ikuti Petrosains Sdn Bhd:
Facebook: Petrosains – The Discovery Centre | Instagram: @instapetrosains
TikTok: @petrosains | Website: www.petrosains.com.my