Forging an ASEAN Green Future: Energy Transition Meeting Positions Malaysia as Regional Hub for Clean Energy Collaboration and Digital Innovation - MyDIGITAL
Skip links

MALAYSIA TERAJUI MASA DEPAN HIJAU ASEAN: MESYUARAT PERALIHAN TENAGA KUKUHKAN PERANAN SEBAGAI HAB SERANTAU TENAGA BERSIH DAN INOVASI DIGITAL

MALAYSIA TERAJUI MASA DEPAN HIJAU ASEAN: MESYUARAT PERALIHAN TENAGA KUKUHKAN PERANAN SEBAGAI HAB SERANTAU TENAGA BERSIH DAN INOVASI DIGITAL

MALAYSIA TERAJUI MASA DEPAN HIJAU ASEAN: MESYUARAT PERALIHAN TENAGA KUKUHKAN PERANAN SEBAGAI HAB SERANTAU TENAGA BERSIH DAN INOVASI DIGITAL

KUALA LUMPUR, 26 Mei 2025 – Malaysia melakar satu lagi pencapaian strategik apabila berjaya menganjurkan Mesyuarat Peralihan Tenaga ASEAN (Energy Transition Meeting - ETM) yang memposisikan negara sebagai pemacu utama dalam agenda tenaga bersih serantau dan inovasi digital. Inisiatif berimpak tinggi ini dianjurkan bersama oleh Malaysia Centre for the Fourth Industrial Revolution (MYCentre4IR) yang dihoskan oleh MyDIGITAL Corporation serta World Economic Forum (WEF).

Bertemakan “Memupuk Kerjasama Serantau”, mesyuarat ini menjadi platform berprofil tinggi di peringkat Asia Tenggara, yang berlangsung serentak dengan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China. ETM mengumpulkan pemimpin serantau dan global untuk membincangkan hala tuju bersama dalam peralihan tenaga bersih, penyelarasan dasar, pembiayaan mampan, penyepaduan infrastruktur serantau dan nyahkarbon industri secara menyeluruh.

YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, dalam ucapan pembukaan rasmi menegaskan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025. Menurut YAB Timbalan Perdana Menteri, “Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia komited untuk menggalakkan dialog, membina konsensus dan memajukan kerangka serantau yang akan menggerakkan masa depan tenaga yang lebih bersih, lebih selamat dan lebih inklusif. Peralihan tenaga yang sedang berlaku di peringkat global, serantau dan nasional harus ditangani secara adil dan saksama agar memberi manfaat kepada rakyat, meningkatkan daya tahan dan mendorong pertumbuhan mampan.”

Encik Roberto Bocca, Ketua Pusat Tenaga dan Bahan di Forum Ekonomi Dunia (WEF), berkongsi pandangan global yang menekankan peranan strategik Asia Tenggara sebagai nadi penting dalam membentuk landskap peralihan tenaga dunia. Beliau memuji Malaysia atas keupayaannya menyelaraskan aspirasi nasional dengan agenda iklim serantau dan global, khususnya melalui kerjasama erat antara WEF Center for Energy and Materials dan MYCentre4IR. Menerusi kerjasama ini, inisiatif bertaraf global disesuaikan dengan keperluan unik ASEAN, manakala amalan terbaik serantau diketengahkan ke pentas antarabangsa. “Peralihan tenaga bukan lagi satu cita-cita jangka panjang – ia kini menjadi satu keperluan mendesak yang bakal mencorakkan masa depan ekonomi, masyarakat dan industri kita. Kejayaan dalam mencapai peralihan yang mampan, selamat dan saksama bergantung kepada kekuatan kolaborasi antara sektor awam dan swasta, penyatuan serantau serta penglibatan menyeluruh merentas sektor. Kehadiran para pemimpin di Mesyuarat Peralihan Tenaga ASEAN membuka ruang luar biasa untuk menyatukan wawasan, bertukar pandangan strategik dan menggerakkan tindakan kolektif demi membina masa depan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan lestari,” ujar beliau.

MYCentre4IR berperanan sebagai platform neutral pelbagai pihak berkepentingan yang menyatukan dasar, inovasi dan pelaburan merentas keutamaan nasional dan serantau, dengan matlamat menterjemahkan aspirasi strategik kepada tindakan nyata dan berkesan di lapangan.  Encik Adrian Marcellus, Ketua MYCentre4IR merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation, menegaskan : “Peranan kami adalah mempercepatkan pelaksanaan dasar negara dalam bidang strategik. Menerusi MYCentre4IR, kami menerajui perbincangan bernilai tinggi dalam tenaga bersih, menyemarakkan simbiosis industri melalui transformasi digital, dan membentuk kerjasama rentas sempadan yang mampu menggerakkan perubahan sebenar.”

Mesyuarat Peralihan Tenaga (ETM) menampilkan sembilan sesi tematik berfokus, dengan penglibatan aktif daripada pemimpin sektor awam dan swasta. Antara topik utama yang diketengahkan ialah: (1) Strategi penyahkarbonan untuk kluster industri ASEAN; (2) Pengukuhan infrastruktur Grid Tenaga ASEAN; (3) Mekanisme pembiayaan bagi peralihan daripada arang batu kepada tenaga bersih; (4) Pembangunan bahan api bersih dan ekosistem hidrogen serantau; (5) Kesiapsiagaan tenaga nuklear di Asia Tenggara; (6) Pemanfaatan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan tadbir urus data untuk inovasi tenaga; (7) Meja Bulat Ketua Pegawai Eksekutif Peralihan Tenaga Adil, menghimpunkan Juara Tenaga serantau; (8) Mesyuarat dua hala berprofil tinggi antara pemain utama industri dan pembuat dasar

Menteri Digital Malaysia YB Gobind Singh Deo turut menjadi tuan rumah kepada pihak berkepentingan AI dan teknologi dalam memacu perbincangan mengenai penumpuan Tenaga Bersih sebagai persediaan untuk Memacu Era Kecerdasan.

Mesyuarat Peralihan Tenaga ASEAN telah menghimpunkan lebih 130 perwakilan dari lebih 20 negara, melibatkan kehadiran pemimpin dan pemain industri utama dari dalam dan luar negara. Antara organisasi berprofil tinggi yang turut serta termasuklah PETRONAS, UNESCAP, Pusat Tenaga ASEAN (ACE), Bank Pembangunan Asia, Bank Negara Malaysia, Monetary Authority of Singapore (MAS), Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA), Khazanah Nasional, Singapore LNG Corporation, British Petroleum (BP), Mitsui O.S.K Lines, Akselos SA, GEIDCO, Alphabet, Al Rushaid Petroleum Investment Co, Bangchak Corporation, Siam Cement Group, serta pelbagai entiti inovasi dan pelaburan dari seluruh ekosistem tenaga dan digital. Perbincangan turut menjurus kepada usaha untuk meneroka pembentukan Perjanjian Ekonomi Bersih ASEAN (ASEAN Clean Economy Agreement), yang berpotensi mewujudkan piawaian serantau bagi perakaunan karbon, penggunaan teknologi hijau, dan pembiayaan kemampanan, sekaligus mengukuhkan kesepaduan dan keberkesanan tindakan serantau dalam menghadapi cabaran iklim.

Penganjuran ETM ini adalah selari secara langsung dengan kerangka dasar nasional Malaysia yang menyeluruh dan saling melengkapi, merangkumi: Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Hala Tuju Ekonomi & Teknologi Hidrogen (HETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030), Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MDEB), Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR Nasional), Industry4WRD, serta Strategi Semikonduktor Negara (NSS). Menerusi rangka kerja ini, Malaysia beriltizam membina ekosistem tenaga yang berdaya tahan, didayakan secara digital, mematuhi piawaian ESG, dan bersepadu secara serantau — meletakkan negara sebagai peneraju dalam tenaga masa depan yang mampan dan inklusif. Selain itu, kandungan dan hasil perbincangan di ETM turut melengkapi pelbagai platform strategik ASEAN seperti: Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC), Grid Tenaga ASEAN (ASEAN Power Grid), Inisiatif Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga melalui peralihan kluster industri, Pembangunan Tenaga Boleh Diperbaharui dan Tenaga Nuklear Awam, serta model Kerjasama Peralihan Tenaga Adil (Just Energy Transition Partnership - JETP).

Penganjuran bersama Mesyuarat Peralihan Tenaga ASEAN oleh MYCentre4IR dan World Economic Forum bukan sahaja mencerminkan komitmen Malaysia dalam menerajui usaha transformasi tenaga serantau, malah memperkukuh kerjasama strategik rentas sektor dan penyelarasan awam-swasta. Ia sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pemacu utama dalam membentuk ekonomi ASEAN yang hijau, digital dan saling berhubung — bersedia menghadapi cabaran masa depan dengan yakin dan berpaksikan nilai mampan serta inklusif.

–End–

Mengenai Malaysia Centre for the Fourth Industrial Revolution (MYCentre4IR)

Dihoskan oleh MyDIGITAL Corporation, MYCentre4IR adalah sebahagian daripada rangkaian global Pusat 4IR Forum Ekonomi Dunia (WEF). Ia merupakan pusat pertama di Asia Tenggara dan ke-19 dalam rangkaian global Pusat Revolusi Perindustrian Keempat Forum Ekonomi Dunia. Ia adalah platform yang dinamik dan berpandangan jauh yang direka untuk mencetuskan inovasi, memudahkan pembangunan dasar, dan memacu kerjasama pada skala global. Perkongsian dengan Forum ini menyediakan akses dan hubungan kepada sumber pengetahuan yang luas, amalan terbaik, dan pandangan global daripada rangkaian organisasi dan negara yang sehaluan, membolehkan pembelajaran dan kerjasama dalam projek-projek canggih.

Laman Sesawang: MYCentre4IR | Ikuti kami di Facebook | Instagram | LinkedIn

Mengenai MyDIGITAL Corporation

MyDIGITAL Corporation adalah agensi pemantauan dan beroperasi sebagai Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik di bawah Kementerian Digital, yang mengawasi pelaksanaan Rancangan Ekonomi Digital Malaysia (MDEB) dan Dasar 4IR Kebangsaan. Ia berfungsi sebagai sekretariat kepada Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, serta menjadi tuan rumah kepada Malaysia Centre for the Fourth Industrial Revolution (MYCentre4IR) dengan kerjasama Forum Ekonomi Dunia. MyDIGITAL adalah platform dinamik yang bertujuan untuk mempercepatkan penerapan teknologi 4IR dan memupuk inovasi.

Laman Sesawang: MyDIGITAL | Ikuti kami di Facebook | Instagram | LinkedIn | X

Mengenai Forum Ekonomi Dunia

Forum Ekonomi Dunia adalah Organisasi Antarabangsa untuk Kerjasama Awam-Swasta. Ia melibatkan pemimpin daripada kerajaan, perniagaan, akademik, dan masyarakat sivil untuk membentuk agenda global, serantau, dan industri. Beribu pejabat di Geneva, Switzerland, Forum ini komited untuk meningkatkan keadaan dunia dengan memupuk dialog, memacu perubahan sistem, dan memajukan penyelesaian terhadap isu-isu global kritikal termasuk peralihan tenaga, tindakan iklim, tadbir urus teknologi, dan pembangunan ekonomi inklusif.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Komunikasi Strategik MyDIGITAL Corporation
See Siok Gee: +6012 662 4336 | siokgee.see@mydigital.gov.my
Norhani Binti Ahmad Jaya: +6010 400 0868 | norhani.aj@mydigital.gov.my

Malaysia Centre for the Fourth Industrial Revolution (MYCentre4IR)
Calvin Woo: +6017 640 4370 | calvin.woo@mydigital.gov.my
Ameerul Ashraff: +6017 358 5127 | ashraff.husni@mydigital.gov.my