Belanjawan 2026: Mempercepat Transformasi Digital Malaysia untuk Semua
Belanjawan 2026: Mempercepat Transformasi Digital Malaysia untuk Semua
MyDIGITAL Corporation menyambut baik tumpuan strategik Kerajaan terhadap AI, inovasi dan transformasi digital yang inklusif
PUTRAJAYA, 17 Oktober 2025: Belanjawan MADANI 2026 yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, menegaskan komitmen Malaysia untuk membina Negara Kecerdasan Buatan (AI Nation) menjelang tahun 2030. Peruntukan dalam Belanjawan ini secara jelas menyokong hala tuju strategik Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MDEB) dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (N4IRP), sekali gus menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan dalam membangunkan ekonomi yang berteraskan digital, berpandukan inovasi dan bersifat inklusif.
MyDIGITAL Corporation melihat peruntukan dalam Belanjawan 2026 memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi digital Malaysia kepada progres yang konkrit bagi Kerajaan, industri dan rakyat.
“Belanjawan MADANI 2026 menghubungkan visi dengan pelaksanaan. Ia menandakan kesediaan Malaysia untuk memanfaatkan kecerdasan buatan (AI), data dan inovasi digital sebagai pemangkin kemajuan yang inklusif dan mampan. MyDIGITAL Corporation akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Digital serta rakan strategik merentas sektor bagi memastikan transformasi ini benar-benar memberi manfaat kepada setiap rakyat Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Adrian Marcellus.
Membentuk Masa Depan Digital Malaysia
Belanjawan 2026 meletakkan asas yang lebih kukuh merentasi tujuh bidang strategik dalam usaha merealisasikan aspirasi AI Nation 2030. MyDIGITAL Corporation melengkapkan usaha nasional ini melalui penyelarasan dasar dan pemerkasaan ekosistem yang berpaksikan MDEB dan N4IRP.
- Kerajaan Digital: Pengembangan MyDigital ID dan Unit GovTech Malaysia akan memperkemas serta memperkukuh akses kepada perkhidmatan awam, sekali gus meningkatkan integrasi dan pengalaman rakyat.
- Infrastruktur Digital: Penubuhan Sovereign AI Cloud dan pelaburan berterusan dalam Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) akan memperkukuh kedaulatan data, daya tahan dan kesalinghubungan Malaysia — menjadi tunjang kepada keupayaan AI negara.
- Pemerkasaan Industri Digital: Insentif seperti kerangka Entiti Perniagaan ASEAN (ABE) dan mekanisme pelaburan bersama akan memperkasa industri berasaskan inovasi serta menarik pelaburan digital bernilai tinggi.
- Bakat Digital: Inisiatif di bawah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), HRD Corp dan GiatMARA akan terus memperluas saluran bakat digital dan AI Malaysia. Cadangan potongan cukai tambahan sebanyak 50% kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi kos latihan-latihan berkenaan AI dan keselamatan siber, yang diiktiraf oleh National AI Council for Industry (NAICI) MyMahir serta diterajui oleh TalentCorp dan MyDIGITAL Corporation akan terus memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja, meningkatkan produktiviti, dan mengekalkan sifat daya saing dalam ekonomi berasaskan teknologi. Melengkapi usaha ini, Program Rakyat Digital oleh MyDIGITAL Corporation memupuk literasi digital dan bersifat inklusif di peringkat komuniti, manakala Program Kepimpinan Digital Eksekutif (EDLP) membina keupayaan kepimpinan digital dalam sektor awam dan swasta.
- Masyarakat Digital: Pengembangan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan pelaksanaan unit digital bergerak akan memastikan akses digital yang saksama, memupuk keterangkuman dan peluang di seluruh negara. Bersama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), MyDIGITAL Corporation sedang membangunkan Indeks Keterangkuman Digital Malaysia (MyIKD) atau Digital Inclusivity Index Malaysia (DIIM) sebagai penanda aras nasional untuk mengukur dan merapatkan jurang digital negara melalui cerapan berpandukan data terhadap kesalinghubungan, tahap mampu milik, kemahiran dan tahap penggunaan digital, memastikan setiap rakyat mendapat manfaat daripada transformasi digital negara.
- Kepercayaan Digital: Memperkukuh keselamatan siber dan perlindungan data, seiring dengan Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data 2026-2030, akan melindungi kemajuan digital Malaysia serta memperkukuh keyakinan terhadap sistem digital awam. Bagi memperkukuh kepimpinan Malaysia dalam tadbir urus AI, Pusat Revolusi Perindustrian Keempat Malaysia (MYCentre4IR) yang dihoskan oleh MyDIGITAL Corporation menerajui penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (ASEAN AI SAFE), yang telah diendorskan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) ke-5 di Bangkok pada tahun 2025, bagi memperkukuh kerjasama serantau ke arah pembangunan AI yang selamat dan bertanggungjawab. Satu pengisytiharan rasmi mengenai ASEAN AI SAFE dijangka akan dibuat pada Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-47 pada Oktober 2025, sebelum pelancaran rasminya pada tahun 2026.
- Inovasi Digital: Pelaburan dalam penyelidikan AI, rantaian blok dan komputasi kuantum akan meletakkan Malaysia sebagai peneraju inovasi serantau, mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi digital bernilai tinggi.
Memperkasa Setiap Rakyat Malaysia
Melalui pelaksanaan MDEB dan di bawah bimbingan MED4IRN, MyDIGITAL Corporation akan memastikan inisiatif digital yang diperkenalkan di bawah Belanjawan MADANI 2026 direalisasikan melalui pendekatan keseluruhan negara:
- Untuk Kerajaan: Perkhidmatan awam yang diperkemas dan berpandukan data.
- Untuk Industri: Perkembangan yang kompetitif dan berpandukan inovasi.
- Untuk Rakyat: Akses saksama kepada peluang digital.
Bersama Kementerian Digital, MyDIGITAL Corporation komited untuk menterjemah dasar ini kepada hasil yang nyata — memacu transformasi Malaysia ke arah ekonomi yang mampan, selamat dan diperkasakan oleh AI.
Mengenai MyDIGITAL Corporation
MyDIGITAL Corporation adalah agensi pemantauan dan beroperasi sebagai Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik di bawah Kementerian Digital, yang mengawasi pelaksanaan Rancangan Ekonomi Digital Malaysia (MDEB) dan Dasar 4IR Kebangsaan. Ia berfungsi sebagai sekretariat kepada Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, serta menjadi tuan rumah kepada Pusat Revolusi Perindustrian Keempat Malaysia (MYCentre4IR) dengan kerjasama Forum Ekonomi Dunia. MyDIGITAL Corporation adalah platform dinamik yang bertujuan untuk mempercepatkan penerapan teknologi 4IR dan memupuk inovasi.
Laman Sesawang: MyDIGITAL Corporation | Ikuti kami di Facebook | Instagram | LinkedIn | X
Mengenai Malaysia Centre for the Fourth Industrial Revolution (MYCentre4IR)
Dihoskan oleh MyDIGITAL Corporation, MYCentre4IR adalah sebahagian daripada rangkaian global Pusat 4IR Forum Ekonomi Dunia (WEF). Ia merupakan pusat pertama di Asia Tenggara dan ke-19 dalam rangkaian global Pusat Revolusi Perindustrian Keempat Forum Ekonomi Dunia. Ia adalah platform yang dinamik dan berpandangan jauh yang direka untuk mencetuskan inovasi, memudahkan pembangunan dasar, dan memacu kerjasama pada skala global. Perkongsian dengan Forum ini menyediakan akses dan hubungan kepada sumber pengetahuan yang luas, amalan terbaik, dan pandangan global daripada rangkaian organisasi dan negara yang sehaluan, membolehkan pembelajaran dan kerjasama dalam projek-projek canggih.
Laman Sesawang: MYCentre4IR | Ikuti kami di Facebook | Instagram | LinkedIn
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Komunikasi Strategik MyDIGITAL Corporation
Faizah Jaafar: +6019 399 7746 | faizah.jaafar@mydigital.gov.my
See Siok Gee: +6012 662 4336 | siokgee.see@mydigital.gov.my