MyDIGITAL Acceleration Project Facilitates Technology Innovation In Key Sectors
Projek Pemangkin MyDIGITAL Pemudah Cara Inovasi Teknologi Sektor-sektor Utama
PUTRAJAYA, 11 OGOS 2022 – Pasukan Petugas Projek Pemangkin MyDIGITAL
(CPTF) terus menyokong inovasi sektor swasta selaras dengan misinya untuk
memudah cara pelaksanaan dan penggunaan teknologi digital. Sejak mesyuarat
CPTF pertama diadakan pada April 2022, dua inisiatif berikut telah dilaksanakan:
- TEKNOLOGI DRON DALAM PERTANIAN
- Bagi menggalakkan pertanian jitu (precision farming), jangka waktu proses kelulusan Sijil Kerja Keudaraan (AWC) bagi operasi penyemburan dron pertanian mensasarkan pengurangan sebanyak 50% melalui pelan penambahbaikan.
- Ini dilakukan dengan kerjasama MyDIGITAL Corporation, Kumpulan Aerodyne, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) dan Pasukan Petugas Khas untuk Memudahkan Perniagaan (PEMUDAH).
- ROBOT BERAUTONOMI
- Sebagai satu inisiatif untuk sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Intel akan memperkenalkan Robot Berautonomi (Autonomous Moving Robots atau AMR) untuk mempromosikan kerjasama antara manusia dan sistem robot.
Berikutan itu, mesyuarat CPTF kedua yang diadakan pada 9 Ogos 2022 bersetuju
bahawa penyelesaian pintar seperti Lebuhraya Pintar dan Mobiliti Pintar akan
digunakan dalam sektor Pengangkutan dan Logistik bagi meningkatkan tahap
keselamatan jalan raya, mengurangkan kesesakan dan menyediakan pengalaman
mobiliti yang lancar kepada pengguna jalan raya.
Pada separuh pertama 2022, Lebuhraya PLUS telah merekodkan secara purata kirakira 1.5–1.8 juta pengguna harian dan 6,122 kemalangan. Memandangkan terdapat
peningkatan pengguna jalan raya sejak kebelakangan ini, keperluan penggunaan
teknologi digital untuk menguruskan aliran trafik menjadi lebih penting. PLUS, dengan
kerjasama Celcom Axiata Berhad, akan memanfaatkan platform CPTF untuk
mengenal pasti dan menangani isu-isu berkaitan pelaksanaan teknologi ini secara
berkesan, seterusnya membuka jalan kepada pembangunan lebuh raya yang lebih
selamat untuk rakyat.
CPTF juga menyokong dan memudah cara penggunaan kenderaan elektrik (EV) di
Malaysia, selaras dengan agenda Agenda Nasional Negara untuk mentauliahkan
10,000 Stesen Pengecas EV menjelang 2025 bawah Pelan Tindakan Mobiliti Rendah
Karbon (LCMB) 2021-2030.
Menurut YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Ekonomi) dan Pengerusi Bersama CPTF: “Saya gembira melihat CPTF memainkan
peranan penting dalam memacu dan menjadi pemangkin dalam penggunaan
teknologi di Malaysia dalam pelbagai sektor. Kami telah mencadangkan beberapa siri
perbincangan dan bengkel untuk mewujudkan satu rangka kerja yang boleh
dilaksanakan dengan sistematik. Beberapa isu yang menyentuh bahagian dasar akan
dikemukakan kepada Kabinet untuk perbincangan lanjut bagi memastikan
penyelesaian merentasi pelbagai kementerian, sektor industri dan teknologi dapat
dicapai.
“Sememangnya wujud cabaran yang perlu diselesaikan dan CPTF akan memastikan
Projek Pemangkin ini dapat memberikan tumpuan sepenuhnya dalam menyelesaikan
masalah berkenaan dengan dasar dan kawal selia dalam sektor-sektor utama yang
menjadi tumpuan supaya laluan dapat dibuka dengan mudah dan dapat dimanfatkan
oleh syarikat-syarikat lain dalam sektor berkenaan untuk terus berkembang.”
Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Ahli Majlis Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi
Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) dan Pengerusi Bersama CPTF berkata:
“Projek Pemangkin bawah MyDIGITAL adalah usaha Perkongsian Awam-Swasta
(PPP) yang menyaksikan sektor swasta menerajui dan membiayai projek yang perlu
dipercepatkan. Pengenalpastian sektor oleh CPTF adalah langkah pertama untuk
mewujudkan rangka kerja yang boleh dilaksanakan. CPTF mengharapkan rangka
kerja yang terbentuk ini mampu menjadi “game changer” dan menggalakkan pertumbuhan besar dalam pengangkutan dan logistik melalui teknologi. Saya
optimistik bahawa kita akan dapat menyebarluaskan penggunaan rangka kerja
seperti ini ke sektor-sektor yang lain dan mendorong syarikat-syarikat untuk terus
berinovasi. Kami menggalakkan sektor swasta untuk memanfaatkan platform CPTF
bagi menyelesaikan cabaran projek yang dihadapi, dan menyumbang kepada
aspirasi MyDIGITAL.”
Projek Pemangkin MyDIGITAL adalah inisiatif proaktif oleh Kerajaan Malaysia melalui
PPP bagi mempercepatkan transformasi digital dan teknologi ekonomi Malaysia. Ia
membuka jalan untuk satu masa depan di mana sektor awam dan sektor swasta
bekerjasama dalam menangani pelbagai isu melalui penyelesaian teknologi bagi
memastikan kemantapan ekonomi negara.